June 24, 2014

AhLaN ya RamaDhaN

Alhamdulillah, Allah beri kekuatan dan kesempatan jari jemari ini untuk terus menaip coretan hikmah buat perkongsian bersama. Mudah-mudahan terselit manfaat bagi setiap yang membacanya. Sedar tidak sedar,  kurang seminggu sahaja lagi kita bakal menyambut tetamu istimewa. Yang dinanti-nanti oleh mereka yang telah lama merinduinya. Ramadhan. Ramadhan yang mulia bakal tiba. Allah, sampaikan kami kepada Ramadhan. Moga-moga Ramadhan kali ini akan dilalui dengan penuh makna kesyukuran dan kehambaan kepada Tuhan.

Syukur jua dirafakkan dengan rendah hati kepada Allah atas kesempatan yang diberikan buat diri ini untuk sama-sama mendengar forum "Ahlan wasahlan ya Ramadhan" pagi tadi yang disampaikan oleh pensyarah institut kami.



Panjang lebar perkongsian yang diperdengarkan, hati ini benar-benar tertarik dengan satu isi penting perbincangan tersebut. Kisah beliau semasa menziarahi bukit Uhud, bukit di mana pernah terjadinya peperangan yang disertai oleh Rasulullah dan tentera islam suatu masa dulu. Apa yang ditekankan melalui cerita beliau ialah mengenai kekesalannya apabila menziarahi bukit Uhud tanpa menghadirkan rasa cinta dalam hati. Sekadar ziarah dan memerhati. Kesal dan rasa terkilannya tergambar dalam nada bicaranya yang beriak sebak beberapa saat. Aku cuba menyelami kisahnya semampu mungkin. Alhamdulillah, maksud sebenar berjaya ku tebak dengan rasa penuh penghayatan.

Apa kaitannya cerita di atas dengan Ramadhan? 

Kisah itu berupa nasihat supaya kita MENYAMBUT RAMADHAN DENGAN MENGHADIRKAN CINTA DALAM HATI KEPADANYA.

Persediaan paling penting untuk menyambut Ramadhan ialah dengan menghadirkan rasa cinta yang sesungguhnya dalam hati kita. Supaya kita akan sangat menghargai setiap detik waktu di bulan Ramadhan yang bakal menjelma. Inilah yang sering kita ketepikan bila kita sibuk menyediakan diri kita menyambut Ramadhan dengan membeli belah persiapan raya, merancang jadual giliran ke bazar dan sebagainya.

Kita pasti biasa dengar pepatah " hubungan kekasih hambar tanpa cinta" . Lihat, betapa cinta itu memainkan peranan yang penting dalam mengindahkan sesuatu perkara. Begitulah juga keadaannya dengan bulan Ramadhan yang bakal dilalui oleh kita tidak lama lagi. Untuk memaknankannya dan menghadirkan rasa indah sepanjang kita melaluinya, perlulah dengan CINTA. Sebagaimana seorang kekasih membuktikan cintanya kepada pasangannya dengan kesungguhan dalam setiap perbuatan, begitulah juga selayaknya persembahan kita dalam membuktikan cinta kita melalui amalan di bulan Ramadhan. Bukan terpaksa berpuasa disebabkan orang lain berpuasa.Bukan terpaksa berterawikh sekadar taqlid buta. Bukan berjaga qiyamullail kerana alang-alang bangun sahur. Sebaliknya, semua ini wajib kita lakukan atas dasar CINTA kepada Allah semata-mata kerana telah menghadiahkan sebuah bulan yang sungguh mulia dibandingkan dengan bulan-bulan yang lainnya. Subhanallah.


Masih  belum terlambat untuk tajdid (memperbaharui) niat kita menanti Ramadhan yang bakal tiba. Jalanilah Ramadhan dengan penuh rasa kehambaan kepada Tuhan, bukan kehambaan kepada Ramadhan. Sempena dengan bulan Ramadhan yang mulia, mudah-mudahan akan mentarbiyah kesabaran kita ke tahap tertinggi. Sabar dalam perkara ketaatan dan sabar dalam meninggalkan kemaksiatan.

“Wahai orang2 yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan pada orang2 sebelum kamu. Mudah2an kamu bertakwa” (Al -Baqarah:183)

Semoga kita diberi kemudahan dan kekuatan untuk berusaha ke arah maqam taqwa sempena Ramadhan ini. Allah, sampaikan kami kepada Ramadhan. Amin ya Rabbal alamin. :)

Selamat menyambut bulan Ramadhan kepada semua umat islam di seluruh dunia. Ramadhan kareem.. Allahu akram.. 


Terima Kasih

May 23, 2014

Nikmat dan Musibah

Saban hari dilewati nikmat dan musibah yang silih berganti. Hal itu membuatkan kita terkadangnya sedih meruntun hati dan terkadangnya pula gembira tak terperi. Resam manusia dan adat manusia. Ada masa naik dan turunnya.Yang pasti, kedua-duanya merupakan ujian yang mendatangi kita dengan pelbagai cara yang disusun oleh Allah. Ada banyak situasi manusia saat ditimpakan nikmat dan musibah.

Ada yang kaya, wang banyak setiap masa. Tapi hatinya lalai dan makin tenggelam dalam kemewahan. Zakat ke mana, puasa dilupa. Sujud pun cuma sekali sekala. Bila rasa sempat saja akan dibuat.

Si kaya yang lainnya pula, wangnya mengalir di jalan Allah. Menginfak buat kesenangan dan kemudahan insan lain. Hatinya terus terikat dengan syukur kepada Allah.

Ada yang miskin, papa tak berharta. Merasakan dirinya dianiaya Tuhan. Cuba mencari jalan pintas untuk kesenangan. Maka mencuri dirasakan lebih baik dari berusaha malam dan siang.

Si miskin ini pula. Hatinya redha tak dikurnia kemewahan. Membanting tulang malam dan siang. Asalkan yang halal, tak untung pun sudah memadai.

Bagaimana pula kita saat diuji? Pada situasi mana kita berdiri?

Nikmat dan musibah... 

Hakikatnya ramai yang tewas saat diuji dengan kemewahan ataupun kenikmatan. Bila diuji dengan musibah, mudahnya seorang hamba itu berteleku lama di atas sejadah. Berdoa panjang memohon supaya Allah memberikan kekuatan dan keimanan untuk menghadapi musibah yang dialami. Saat itu, lembutnya lidah mengadu rayu pada Allah. Merintih sehingga berderai air jernih. Kehadiran musibah rata-ratanya dilihat membuatkan kita lebih hampir dengan Allah. Saat itu juga kita mengakui bahawa Allah lah sebaik-baik penolong. Allah lah sebaik-baik tempat mengadu. Dan kita lebih senang menghabiskan masa mentadabur Al-Quran yang membuatkan hati merasa lebih tenang.

Toleh pada diri.

Bagaimana pula saat kita diuji dengan limpahan nikmat? Ada wang belanja. Makan hidangan yang lazat. Tersandar dalam kereta mewah. Berjaya dalam akademik dan kerjaya. Saat itu, apakah kita terus berteleku di sejadah berdoa pada Allah? Adakah masih kita merintih kerana kesyukuran kepada Allah? Apakah kita berlama-lama mentadabur isi surat cinta dariNya? Allah. Inilah yang dikatakan kenikmatan yang melupakan.

Rupa-rupanya antara nikmat dan musibah, ramai yang jauh dari Allah bila diuji dengan nikmat. Kerana nikmat itu lazat, kita tenggelam mudah tenggelam ke dalamnya berbanding musibah. Kerana itu sahabat-sahabat, bersyukurlah bila Allah tetap menguji kita dengan menimpakan musibah atau kesusahan. Walau diri kita merasa beban, yakinlah bahawa Allah telah mengurniakannya sesuai dengan kemampuan kita yang menerimanya. Allah masih mahu mendengar keluhan dan luahan hati seorang hamba yang betul-betul hanya mengharapkanNya.

Allah ampunkan kami. Berikan kami ujian yang mendekatkan kami kepadaMu, bukan yang menjarakkan kami dariMu. Ameen ya Allah.

Terima Kasih

EpaL hiJaU EpaL MeRah © | Template Designed By Blog Bingkisan Hati